PSIKOLOGI IMTIHAN...

Pernahkah anda merasa begitu berdebar semasa peperiksaan hendak dijalankan? Jantung anda berdegup dengan sungguh pantas. Tangan anda mula sejuk. Anda tidak boleh duduk diam. Anda juga rasa semakin sukar untuk fokuskan fikiran anda kepada apa yang telah anda pelajari. Apakah yang harus anda lakukan?

Ada satu cara untuk mengurangkan debaran sebegini. Sedar tak, semasa anda resah dan berdebar, anda bernafas dengan laju sekali? Anda bernafas kadangkala seperti orang yang baru berlari pecut 100 meter. Bernafas dengan laju begitu akan membuat paru-paru anda sukar untuk menyerap oksigen yang anda sedut kerana anda sedut udara dan lepaskannya semula dalam masa yang sangat singkat.

Cara mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah, pertama, duduk atau berhenti seketika. Tarik nafas sedalam-dalamnya. Jika boleh tarik nafas panjang selama 7 saat. Kemudia tahan selama 7 saat juga (dalam masa yang sama tenangkan atau kosongkan fikiran anda) dan kemudian lepaskan perlahan-lahan selama 7 saat juga. Buat aktiviti ini 5 ke 10 kali.

Sebaik-baiknya anda amalkan cara pernafasan begini semasa mengulangkaji pelajaran. Nanti kesannya lebih baik jika anda lakukan semasa peperiksaan.

Praktikkan cara ini insyaallah anda akan rasakan kesannya yang membuat anda lebih tenang dan fokus. Selamat mencuba.

Tip #1

Bahaya menghafal di saat akhir

Sebelum memasuki dewan peperiksaan, pasti anda pernah lihat kawan-kawan anda sibuk membuka buku dan cuba menghafal fakta-fakta pelajaran kan? Apa pendapat anda tentang perkara ini?

Jika anda tanya saya, saya akan katakan bahawa ada bahayanya jika anda lakukan perkara ini. Ini kerana, sebelum memasuki dewan peperiksaan, anda lebih mudah panik. Katakan anda cuba menghafal sesuatu dan gagl menghafalnya, anda akan masuk dewan peperiksaan dengan perasaan sangat gementar kerana tidak menghafal fakta tadi. Ini mula mengganggu konsentrasi ingatan anda terhadap fakta-fakta lain.

Akhirnya, fakta yang anda tidak sempat hafal tadi mungkin tidak keluar langsung dalam soalan, tetapi disebabkannya, anda lupa fakta lain yang anda telah hafal sebelum ini. Ini semua disebabkan rasa panik dan gementar sebelum memasuki dewan peperiksaan tadi. Jadi, berbaloikah anda membuka dan menghafal nota disaat-saat akhir di luar dewan peperiksaan tadi?

Tip #2

Latih kebolehan menumpukan perhatian

Apabila kita sedang menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan, satu kebolehan yang amat kita perlukan ialah kebolehan untuk menumpukan perhatian. Jika kita tidak boleh menumpukan perhatian, kita akan merasa sukar untuk mengingati apa yang telah kita pelajari. Jika kita tidak boleh menumpukan perhatian kepada menjawab soalan, kita juga akan mudah merasa letih dan hilang kebolehan untuk berfikir dengan tajam.

Satu cara untuk melatih kebolehan menumpukan perhatian ialah semasa anda melakukan ulangkaji pelajaran. Semasa mengulangkaji, ketepikan semua jenis gangguan seperti televisyen, radio, handphone dan cuba cari tempat yang agak tenang seperti keadaan di dalam dewan peperiksaan. Katakan anda sedang mengulangkaji matematik, cari soalan-soalan matematik yang anda boleh lakukan dalam masa 30 minit. Dapatkan contoh kertas peperiksaan jika boleh.

Kemudian, duduk dengan selesa. (Duduk dengan selesa bukan bermakna anda boleh berlunjur atau meletakkan kaki di atas meja ) Duduk seperti anda seorang pelajar cemerlang yang sedang menjawab soalan peperiksaan. Tetapkan dalam hati (dengan bersungguh-sungguh) bahawa anda akan menumpukan perhatian selama 30 minit untuk melakukan latihan matematik. Kita mulakan latihan penumpuan perhatian ini dengan 30 minit dulu. Jika anda rasa 30 minit terlalu lama, kurangkan sedikit.

Kemudian, mula menjawab soalan-soalan itu. Gunakan segala usaha minda anda untuk menepis sebarang jenis gangguan yang mungkin mengganggu konsentrasi anda. Mungkin dalam masa 30 minit anda mula teringat rancangan television yang menarik dan mungkin anda juga teringat tentang janji untuk berjumpa kawan. dalam masa 30 minit ini, lupakan itu semua. Fokus 100 peratus perhatian anda kepada soalan yang sedang lakukan.

Cuba latihan sebegini beberapa kali. Setelah berjaya, tambahkan masa daripada 30 minit kepada 40, 50, 60 dan seterusnya kepada masa sebenar yang diberi untuk menjawab kertas soalan matematik.

Dengan berlatih begini, anda akan meningkatkan kebolehan anda untuk menumpukan perhatian dan bertahan dalam keadaan sebegitu dengan lebih lama.

Selamat mencuba.

Tip #3

Rehat dengan cukup

Apabila disebut perkataan rehat, ramai pelajar yang terbayangkan perkataan tidur. Bagi mereka, satu-satunya cara untuk berehat adalah dengan tidur.

Sebenarnya, tidur adalah satu cara berehat. Tetapi ada beberapa perkara lain lagi yang boleh dilakukan untuk berehat. Contohnya, bersiar-siar di waktu petang, beriadah ringan, membaca buku kegemaran, menonton tayangan gambar, mendengar muzik dan sebagainya.

Ada beberapa petua tentang memilih aktiviti untuk merehatkan otak dan badan. Pertama, anda perlu pilih mana aktiviti yang sesuai bagi anda, bukan sesuai bagi orang lain. Contohnya, bila anda dengar kawan anda berehat dengan membaca buku cerita, anda juga ikut baca buku cerita. Padahal, anda rasa makin tertekan bila membaca buku cerita. Jadi, jangan ikut orang lain, cari aktiviti yang sesuai untuk anda sendiri.

Kedua, aktiviti yang dipilih jangan terlalu memenatkan. Jika terlalu memenatkan, anda akan kehilangan tenaga untuk diluangkan kepada masa mengulangkaji. Jika anda memilih untuk beriadah, jangan terlalu memenatkan.

Ketiga, buat aktiviti yang merehatkan otak itu dengan kadar sederhana. Jika anda memilih untuk tidur, jangan tidur terlalu lama. Jika anda memilih untuk membaca buku cerita atau majalah, jangan terlalu lama juga. Nanti masa anda habis dalam membuat aktiviti ini sahaja pula.

Tip #4

Bayangkan kesudahan menggembirakan

Peperiksaan adalah sesuatu yang menakutkan dan menggerunkan bagi sesetengah pelajar. Perasaan sebegini akan menjadi lebih teruk lagi jika minda pelajar itu dipenuhi dengan imej-imej yang menunjukkan kegagalan, kesusahan, pening kepala dan kekecewaan. Imej-imej begini dalam fikiran pelajar akan menambahkan lagi debaran untuk menghadapi peperiksaan. Jadi, apa yang pelajar harus lakukan untuk mengurangkan rasa debaran dan kegelisahan ini?

Satu cara yang efektif ialah dengan membayangkan kesudahan yang menggembirakan. Sebelum hari peperiksaan menjelang, bayangkan hari peperiksaan tersebut di dalam minda anda. bayangkan, peperiksaan sudah berakhir, dan anda kelihatan gembira kerana telah menjawab dengan baik. Bayangkan dengan jelas bagaimana rupa anda ketika tersenyum selepas peperiksaan. Kemudian, rasakan perasaan gembira yang mengiringi senyuman itu. Ini yang dimaksudkan dengan membayangkan kesudahan yang menggembirakan.

Mengapa kita lakukan ini? Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita asyik fikirkan tentang kesusahan peperiksaan, kita akan sentiasa risau dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Akhirnya, kesusahan itu menjadi kenyataan.

Jadi tukar imej susah dalam minda anda itu kepada kesudahan yang menggembirakan yang saya katakan tadi. Insyaallah, kita akan rasa lebih tenang dan kesudahan itu akan benar-benar menjadi kenyataan. Selamat mencuba

Selamat mencuba.

Tip #5

Mengurangkan tekanan perasaan menjelang peperiksaan

Dapatkah anda meneka apakah kesan baik tekanan perasaan kepada kita? Baiklah, saya akan terangkan dulu apa kesan membuat latihan angkat berat.

Katakan Ali berlatih angkat berat dan dia mengangkat besi seberat 20 kg beberapa kali hingga dia tidak mampu mengangkatnya. Besi yang berat ini memberi tekanan kepada otot-otot tangan Ali. Keesokan harinya, tangan Ali akan terasa sakit. Ini disebabkan otot-otot pada tangan Ali telah rosak disebabkan tekanan tadi.

Satu perkara yang hebat mengenai manusia ciptaan Allah, jika otot-otot kita rosak disebabkan tekanan benda berat tadi, ia akan digantikan dengan yang BARU, LEBIH BESAR dan LEBIH KUAT.

Ini bermakna, apabila Ali sudah hilang rasa sakit, kekuatan tangannya akan bertambah. Sebab itulah sebenarnya jika mula-mula kita angkat beg sekolah kita rasa berat, tapi lama kelamaan kita rasa biasa sahaja. Ini kerana kekuatan kita telah bertambah. Begitu juga dengan tekanan perasaan. Tekanan perasaan membuat kita pening kepala, sakit perut, rasa nak muntah dan sebagainya. Tetapi kalau kita sabar, hadapi tekanan itu dengan rasa yakin bahawa ia akan membuat kita lebih hebat, insyaallah kita akan jadi lebih matang dan bijak. Kita buat soalan matematik contohnya dan rasa pening, jika kita sabar dan hadapi tekanan itu dengan tenang, kita akan rasa bahawa soalan matematik tidak lagi memberi tekanan perasaan kepada kita. Ia seolah-olah kita sudah menjadi semakin kuat.

Jadi, sebagai langkah permulaan, ingat satu perkara ini. Jika anda rasa tertekan, percaya bahawa apabila anda susah melaluinya anda akan jadi lebih bijak dan matang dan anda akan lebih mempunyai peluang untuk berjaya di dalam pelajaran atau dalam hidup.

Tip #6

Mengurangkan tekanan perasaan menjelang peperiksaan

Pernahkah anda merasa begitu tertekan hingga tidak boleh tidur dan tidak boleh makan? Ingat semula pengalaman itu. Cuba ingat, bagaimana cara anda berdiri, bagaimana cara anda duduk dan bagaimana memek muka anda ketika anda merasa tertekan? Ingat?

Bagus. Jika anda hendak tahu, anda boleh mengurangkan rasa tekanan dengan hanya mengubah cara anda berdiri, duduk dan juga menukar memek muka anda. Sekarang, jika anda rasa tertekan, cuba berdiri tegak. Tarik nafas dalam-dalam. Tinggikan kedudukan dada anda seolah-olah anda baru menang satu anugerah dan anda merasa sangat bangga. Senyum. Senyum sampai nampak semua gigi anda. Apa yang anda rasa sekarang? Lebih baik kan? Ini adalah teknik ‘Fisiologi’ untuk mengurangkan tekanan perasaan.

Teknik ini adalah mudah. Ia mengatakan bahawa anda boleh mengubah apa yang anda rasa dengan hanya mengubah cara pergerakan tubuh badan anda. Mari kita cuba sekali lagi. Katakan anda hendak pergi ke meja anda untuk belajar. Buku-buku anda telah siap tersedia di atas meja. Cuba jalan perlahan-lahan dengan muka yang ‘monyok’ (boleh guna ke perkataan ni ) Kalau tak faham monyok, buat muka ketika anda sangat kecewa. Jalan dengan langkah yang berat seolah-olah ada rantai di kaki anda dan anda tidak larat nak berjalan dengan tegak.

Apa yang anda rasa? Berat dan malas kan? Untuk mengatasinya, buat perkara sebaliknya. Berjalan dengan gagah dan buat muka riang gembira macam anda baru menang hadiah cabutan bertuah. Apa anda rasa? Bukan sahaja anda akan rasa lebih cergas, anda juga akan kurang merasa kesan tekanan perasaan yang melanda.

Jadi, ubah pergerakan anda dan ubah memek muka anda untuk mengurangkan tekanan perasaan yang anda rasa. Selamat mencuba.

SUMBER : http://www.osmanaffan.com/tips-tips-psikologi-peperiksaan/

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
#satu_fikrah_satu_amal

Unit Penerangan & Penerbitan BKPPPM 2014/15

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL