PEMBURUAN LAILATUL QADAR BERMULA..!!




Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini
pada malam Lailatul Qadar, Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu?
Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr: 1-3)

Lailatul Qadar atau malam Al-Qadar diberi nama tersebut kerana kebesaran dan kemuliaan qadar atau kedudukan malam itu di sisi Allah SWT disebabkan banyaknya dosa-dosa kesalahan manusia yang diampuniNya pada malam itu. Sabda Nabi Muhammad SAW: ”Barangsiapa menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan keimanan dan penuh tulus ikhlas semata-mata mengharapkan ganjaran Allah, maka diampuni Allah akan dosa-dosanya.” Kelebihan Lailatul Qadar digandakan Allah SWT segala amalan dan ibadah di dalamnya lebih dari seribu bulan.

Bila malam Lailatul Qadar turun? Bila waktunya yang tepat? Pertanyaan tersebut, tidak mampu menemukan jawapan yang pasti mengenai bila turunnya Lailatul Qadar itu. Hadis daripada Jabir, Nabi Muhammad SAW berkata: ”Bahawa aku telah diperlihatkan Lailatul Qadar, kemudian aku lupa iaitu pada 10 malam-malam yang akhir Ramadhan.”

Ada hadis yang diriwayatkan Abu Daud menyebutkan, Dari Abdilah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang Lailatul Qadar. Beliau menjawab: “Lailatul Qadar ada pada setiap bulan Ramadhan.” Namun menurut hadis lainnya yang diriwayatkan Aisyah, Nabi Muhammad SAW memerintahkan: “Carilah Lailatul Qadar itu pada tarikh ganjil dari sepuluh terakhir pada bulan Ramadhan.” Menurut beberapa hadis yang lain pula, Nabi Muhammad SAW menyebutkan Lailatul Qadar itu terjadi pada malam-malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan iaitu tarikh ganjil pada 10 akhir Ramadhan. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa Lailatul Qadar tidak jatuh pada malam tertentu sahaja bagi setiap tahun, bahkan ianya bertukar-tukar di antara malam-malam yang ganjil pada 10 malam yang akhir itu.

Bilakah sebenarnya malam-malam yang ganjil itu, apabila umat Islam berpuasa tidak semestinya serentak memulakan puasa pada tarikh yang sama. Ini bererti sepuluh malam yang akhir itu, kesemuanya berkemungkinan menjadi malam yang ganjil.

Barangkali di antara hikmah tidak diberitahukannya tarikh yang pasti Lailatul Qadar adalah untuk memotivasi umat agar terus beribadah, mencari rahmat dan redha Allah bila-bila masa dan di mana saja, tanpa harus tertumpu pada satu hari saja. Jika malam Lailatul Qadar diberitahukan tarikh kepastiannya, maka orang akan beribadah sebanyak-banyaknya hanya pada tarikh tersebut sahaja.

Para ulama’ mengajarkan, agar mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar, maka hendaknya kita memperbanyak ibadah selama bulan Ramadhan, di antaranya, sentiasa solat fardhu lima waktu berjamaah, mendirikan solat malam atau qiamullail (solat tarawih, tahajud, dan lain-lain), membaca Al-Qur’an, memperbanyak zikir, istighfar dan memperbanyak membaca doa.

Namun masih ramai di kalangan kita yang tidak pernah terfikir untuk merebut peluang rahmat yang dikurniakan Allah SWT di bulan yang mulia ini. Mana mungkin kita dapat mengecapi nikmat beribadah di bulan mulia ini jika menyusul sahaja pertengahan Ramadhan kita sudah sibuk dengan persiapan menyambut Eidulfitri. Ketika inilah kita sibuk memilih baju-baju raya, merancang juadah hari raya, langsir, perabut rumah yang serba baru serta kelengkapan lain. Inilah fenomena yang sudah menjadi seperti budaya dalam masyarakat hari ini.

Padahal untuk mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yang akhir itu kita sepatutnya telah menyiapkan diri selama 20 hari dari awal Ramadhan lagi sehingga tercapailah tahap taqarrub kepada Allah SWT dan penjernihan jiwa. Dalam tempoh 20 hari itulah ditingkatkan amal ibadah dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Menurut Imam Al-Ghazali, untuk memperoleh kejernihan jiwa, seseorang itu perlu melakukan pengasingan diri/‘uzlah. Harapannya adalah agar mampu merenung tentang diri dan masyarakatnya secara jujur.

Dalam konteks kehidupan masa kini, ‘uzlah tidak boleh hanya diterjemahkan secara harfiah iaitu mengasingkan diri. Sebab jika itu dilakukan, ianya akan dinilai sebagai orang yang menjauhi kenyataan, lari dari tanggungjawab dalam menghadapi masalah sosial.

Ketika permasalahan sosial semakin meningkat dan kian parah, seperti pembuangan bayi, pembunuhan, bunuh diri, sumbang mahram, dadah, ketagih arak, jumlah pengangguran yang bertambah, maka kita harus menafsirkan ‘uzlah di malam Lailatul Qadar dengan ibadah konkrit yang dapat dirasakan langsung oleh sesama umat manusia.

Keprihatinan sosial merupakan satu manifestasi dari keimanan. Bagi mereka yang sedang diberi amanah berupa kekuasaan, samada di peringkat pimpinan parti atau pentadbiran negara, hendaklah lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sedaya upaya yang mungkin dan penuh ikhlas memperhatikan nasib dan kepentingan rakyat. Rakyat harus didekati dan diutamakan untuk mengetahui lebih jauh tentang keinginan dan permasalahan mereka.

Amatlah mustahak difahami bahawa tidak semestinya kita dapat mengetahui bahawa orang yang menghidupkan Lailatul Qadar itu ia akan mendapatnya. Apa yang penting diambil kira ialah melakukan amal dengan bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas samada ia mengetahui atau tidak malam tersebut, kerana adakalanya mereka yang tidak mengetahui malam Lailatul Qadar itu, lebih tinggi dan lebih besar darjat kedudukannya di sisi Allah daripada mereka yang mengetahui malam tersebut kerana kesungguhan amalan mereka itu. Semoga kita termasuk dalam golongan yang mendapat kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah SWT.

Disediakan oleh : Unit Penerangan & Penerbitan BKPPPM 2014-15

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL