HUKUM DERMA ORGAN SETELAH MENINGGAL DUNIA







Apakah Dibolehkan Bagi Orang Islam Bersetuju Untuk Menderma Organ Apabila Ia Meninggal Dunia Kelak?



ISU:

Apakah dibolehkan bagi orang Islam bersetuju untuk menderma organ apabila ia meninggal dunia kelak? Ini melibatkan mayat orang Islam yang perlu dibelah untuk mengambil organ tersebut.

PENJELASAN:

Menderma organ setelah meninggal dunia adalah dibenarkan di dalam Islam tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Keharusan menderma organ untuk dilakukan selepas kematian adalah berdasarkan kepada maslahat dan keperluan yang diraikan dalam Islam. Sebagaimana dimaklumi bahawa kemaslahatan orang yang hidup adalah lebih aula untuk dipelihara berbanding kemaslahatan orang yang telah mati berdasarkan kaedah:

حرمة الحي آكد من حرمة الميت
Maksudnya: “Kehormatan orang yang hidup lebih kuat daripada kehormatan orang yang telah mati”. (Al-Syirazi, Al-Muhazzab, 1/456).

Di Malaysia, keharusan menderma dan pemindahan organ telah pun diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal EhwalUgama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23 - 24 Jun 1970 yang membincangkan pemindahan jantung dan mata. Jawatankuasa telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

(1) Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.

(2) Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.

(3) Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

(4) Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

Keputusan tersebut adalah berdasarkan kepada hujah berikut:

i. Untuk menghapuskan kemudharatan, sepertimana yang dituntut oleh Hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi " لاضررولاضرار " yang bermaksud “Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan tidak boleh memudharatkan orang lain”.

ii. Memberi kemudahan, sepertimana yang terkandung dalam firman Allah 185 Surah al-Baqarah yang bermaksud “Allah berkehendakkan kemudahan untuk kamu dan tidak berkehendak kepayahan”.

iii. Melakukan kemudharatan yang paling ringan di antara dua kemudharatan, sepertimana yang terkandung dalam kaedah Fiqh yang berbunyi "ارتكاب أخف الضررين" yang bermaksud "melakukan kemudharatan yang lebih ringan ".

Fatwa lain yang berkaitan dengan pendermaan organ ialah fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sarawak pada 1 Julai 1997 mengenai pemindahan buah pinggang. Mengikut fatwa tersebut, pendermaan ginjal atau buah pinggang adalah harus, tertakluk kepada syarat seperti berikut:-

Derma dari yang hidup:

Syarat-syaratnya seperti berikut:-

i. Penderma rela dengan ikhlas hati menderma organ ginjal atau buah pinggangnya;
ii. Disahkan oleh pakar perubatan bahawa pendermaan itu tidak akan membahayakan kesihatan si penderma;
iii.Tidak dilakukan dengan cara jual beli

Derma dari yang mati:

Syarat-syaratnya seperti berikut:-

i. Sebelum meninggalkan dunia penderma telah menyatakan kerelaan untuk mendermakan organ ginjal atau buah pinggangnya itu kepada orang lain setelah dia meninggal dunia atau diizinkan oleh wali atau warisnya untuk berbuat demikian dan tidak pula dilakukan dengan paksaan;

ii. Disahkan oleh pakar perubatan bahawa ginjal atau buah pinggang yang didermakan itu masih boleh dimanfaatkan oleh pesakit buah pinggang yang memerlukan;

iii. Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan organ ginjal atau buah pinggang itu semata-mata untuk berubat,

iv. Tidak dilakukan dengan cara jual beli.

Dalam dunia Islam yang lebih luas, terdapat banyak fatwa yang mengharuskan pendermaan organ ini. Antaranya ialah:

i.1952: Mufti Besar Mesir, Syekh Hasanin Makhluf yang mengharuskan pemindahan kornea mata

ii.1959: Mufti Besar Mesir, Syekh Hasan Ma`mun yang juga mengharuskan pemindahan kornea mata

iii.1966: Mufti Besar Mesir, Syekh Huraidi yang mengharuskan pemindahan kornea mata

iv.1972: Majlis Agama Islam Algeria yang mengharuskan pemindahan organ

v.1977: Majlis Tertinggi Fatwa Jordan,yang mengharuskan pemindahan organ

vi.1979: Mufti Mesir, Syekh Gad al-Haq, yang memberi fatwa harus mengambil organ samada daripada penderma hidup atau penderma kadaverik

vii.1979: Majlis Fatwa Kuwait, yang memfatwakan harus pemindahan organ, termasuk daripada cadaver

viii.1985: Liga Dunia Islam, yang mengharuskan pemindahan kornea

ix.1988:Persidangan Keempat OIC yang mengharuskan pemindahan organ.

Hukum harus menderma dan memindahkan organ tertakluk kepada berbagai-bagai syarat yang pada prinsipnya menjaga berbagai kepentingan selaras dengan kehendak agama Islam yang maha suci. Syarat-syarat tersebut boleh disenaraikan seperti berikut:-

1. Ia tidak akan menyebabkan penderma menanggung kemudharatan atas dirinya seperti mati atau cacat seperti hilang pendengaran, penglihatan, kemampuan untuk berjalan dan sebagainya;

2. Pemindahan berkenaan berlaku dengan izin penderma berkenaan;

3. Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan penuh untuk melakukannya. Kerana itu ia tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak, orang gila, atau orang yang dipengaruhi oleh tekanan atau paksaan atau kekeliruan;

4. Ia tidak berlaku dengan cara yang mencabuli kehormatan manusia, seperti melibatkan urusan jual beli. Sebaliknya ia perlu berlaku berasaskan keizinan dan pendermaan semata-mata;

5. Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas kelimuan yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk keatas penderma dan penerima berasaskan prinsip maslahah dan mafsadah sepertimana yang terdapat dalam Syariat Islam


Rujukan
http://www.e-fatwa.gov.my/blog/apakah-dibolehkan-bagi-orang-islam-bersetuju-untuk-menderma-organ-apabila-ia-meninggal-dunia-ke


Disediakan oleh
Unit Penerangan & Penerbitan Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir 15/16

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL